Khamis, 1 Disember 2022

𝗞𝗜𝗦𝗔𝗛 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋-1

 

𝗞𝗶𝘀𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗨𝗻𝗴𝗴𝘂𝗹
𝗞𝗜𝗦𝗔𝗛 𝟭: 𝗞𝗵𝗮𝗹𝗶𝗳𝗮𝗵 𝗦𝗮𝗶𝗱𝗶𝗻𝗮 𝗨𝗺𝗮𝗿 𝗮𝗹-𝗞𝗵𝗮𝘁𝘁𝗮𝗯 𝗱𝗮𝗻 𝗦𝘆𝘂𝗿𝗮𝗶𝗵 𝗮𝗹-𝗤𝗮𝗱𝗵𝗶
𝗞𝗶𝘀𝗮𝗵 𝗝𝘂𝗮𝗹 𝗕𝗲𝗹𝗶 𝗞𝘂𝗱𝗮 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗮𝗱𝗶𝗹𝗶 𝗢𝗹𝗲𝗵 𝗤𝗮𝗱𝗵𝗶 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗔𝗺𝗮𝗻𝗮𝗵 (𝗦𝘆𝘂𝗿𝗮𝗶𝗵 𝗔𝗹-𝗤𝗮𝗱𝗵𝗶)
Nama sebenar Syuraih Al-Qadhi ialah Syuraih bin Al-Harith bin Qis bin Jahm Al-Kindi. Beliau lebih dikenali sebagai Syuraih Al-Qadhi kerana perkhidmatan beliau sebagai Hakim ketika hidupnya. Beliau merupakan Qadhi yang amat faqih di era tersebut dan berkhidmat lebih kurang 60 tahun berturut-turut sejak pemerintahan Khilafah Umar bin Khathab, Utsman bin Affan, Ali bin Abi Thalib dan beberapa khalifah yang lain.
Beliau bukan sahaja seorang Qadhi, bahkan Muhadith dan penyair Arab yang terkenal. Syuraih Al-Qadhi hidup selama 107 tahun dan meninggal pada tahun ke 78 hijrah, sebahagian menyatakan tahun ke 80 hijrah selepas beliau meletakkan jawatan. Beliau mengundurkan diri pada awal pemerintahan Hajjaj bin Yusuf sebagai wali di Iraq dan setahun kemudian beliau meninggal dunia. Syuraih telah memeluk agama Islam sezaman dengan Rasulullah SAW di Hadrulmaut, Yaman tetapi tidak pernah berjumpa dengan Baginda Nabi SAW (bagaimanapun terdapat berbagai pendapat dan khilaf lain berkenaan biodata beliau, sila rujuk Tahzib Al-Kamil Li al-Mizzi, m/s 2726.
𝗞𝗶𝘀𝗮𝗵 𝗦𝗮𝗶𝗱𝗶𝗻𝗮 𝗨𝗺𝗮𝗿 𝗔𝗹-𝗞𝗵𝗮𝘁𝘁𝗮𝗯 𝗗𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗝𝘂𝗮𝗹 𝗕𝗲𝗹𝗶 𝗞𝘂𝗱𝗮.
Pada suatu hari Syuraih bin Al-Harith didatangi oleh Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab bersama seorang penjual kuda. Hajat mereka berjumpa Syuraih adalah untuk mengadukan permasalahan yang sedang mereka hadapi dan meminta Syuraih untuk mengadilinya.
Syuraih mempersilakan penjual kuda untuk menjelaskan maksud kedatangannya. Lalu beliau menjelaskan bahawa Khalifah Saidina Umar telah membeli seekor kuda darinya. Namun begitu, selang beberapa hari, Saidina Umar datang berjumpanya untuk mengembalikan kuda tersebut dan menuntut ganti rugi. Setelah mendengar penjelasan dari penjual kuda, Syuraih kemudian mempersilakan Khalifah Saidina Umar untuk memberikan penjelasan. Lalu Saidina Umar menjelaskan tujuan beliau mengembalikan kuda tersebut dan menuntut ganti rugi atas sebab kuda itu berpenyakit dan cacat dan membuatkan larianya tidak laju.
Syuraih kembali mempersilakan penjual kuda untuk memberikan jawapan. Beliau tidak dapat menerima alasan Khalifah Saidina Umar kerana dia menjualnya dalam keadaan sihat tanpa ada cacat dimana-mana bahagian kuda tersebut. Syuraih kemudian bertanya kepada Saidina Umar, “Apakah benar ketika Tuan membeli kuda itu keadaannya sihat dan tidak cacat?” Saidina Umar menjawab singkat, “Benar.” Maka Syuraih memberikan keputusan terhadap perkara tersebut dan menyatakan bahawa Saidina Umar tidak berhak meminta ganti rugi daripada penjual kuda tersebut kerana pada keadaan jual beli dilakukan, kuda itu berada di dalam keadaan sihat tanpa ada kecacatan.
Beliau kemudian berkata kepada Saidina Umar, “Peliharalah apa yang Tuan beli atau jika ingin mengembalikannya, kembalikanlah seperti ketika Tuan menerimanya.” Mendengar keputusan dan penjelasan daripada Syuraih, Saidina Umar bertanya, “Benarkah keputusan kamu Syuraih?” Syuraih mengangguk dengan penuh yakin. Saidina Umar memandang Syuraih dengan kagum lantas berkata, “Beginilah seharusnya keputusan dilakukan, ucapan yang pasti dan keputusan yang adil. Lantas Saidina Umar mengangkat Syuraih menjadi Qadhi dan memerintahkan beliau untuk pergi ke Kufah dan berkhidmat disana.
(Sila rujuk buku Beriman Kepada Qada’ dan Qadar karangan Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang, m/s 71 atau kitab Min Kulli Bustani Zahrah karangan Sana’ Naj, m/s 220 atau www.Nabulsi.com yang bertajuk Sirah Al-Taabiin Al-Ajla' : At-Tabii Al-Qadhi Syuraih).
𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗷𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗹𝗮𝗱𝗮𝗻.
Melalui kisah ini, beberapa pengajaran dan teladan yang baik dapat direnungi bersama diantaranya:
- Perkara yang tidak benar tetap salah walaupun kesalahan itu dilakukan oleh pemimpin atau orang kenamaan.
- Pemerintahan yang berlandaskan sifat Rabbani iaitu sifat patuh kepada tuhan melalui sumber dan matlamat dari segi peraturan, undang-undang, hukum syariah dan perlaksanaannya mesti datangnya daripada agama Allah SWT kerana seorang pemimpin yang beriman kepada Allah SWT wajib beriman kepada zat dan sifatnya yang maha suci daripada segala kekurangan.

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ucapan Marzuki Ong - EID MUBARAK