Khamis, 1 Disember 2022

𝗞𝗜𝗦𝗔𝗛 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋-𝟮


 𝗞𝗜𝗦𝗔𝗛 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋-𝟮

𝗞𝗶𝘀𝗮𝗵 𝗬𝗮𝗵𝘂𝗱𝗶 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗠𝗲𝗻𝗴𝗮𝗺𝗯𝗶𝗹 𝗕𝗮𝗷𝘂 𝗣𝗲𝗿𝗶𝘀𝗮𝗶 𝗦𝗮𝗶𝗱𝗶𝗻𝗮 𝗔𝗹𝗶 𝗗𝗮𝗻 𝗗𝗶𝗮𝗱𝗶𝗹𝗶 𝗢𝗹𝗲𝗵 𝗤𝗮𝗱𝗵𝗶 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗔𝗺𝗮𝗻𝗮𝗵 (𝗦𝘆𝘂𝗿𝗮𝗶𝗵 𝗔𝗹-𝗤𝗮𝗱𝗵𝗶)
Kisah ini berlaku di zaman pemerintahan Saidina Ali yang pada ketika itu berlaku peperangan saudara atau lebih dikenali sebagai perang Siffin. Peperangan diantara Saidina Ali bin Abi Talib dan pengikutnya menentang Muawiyah bin Abu Sufyan dan qabilahnya. Peperangan ini adalah menuntut bela ke atas pembunuhan Saidina Utsman bin Affan. Ketika dalam perjalanan ke kawasan peperangan, Saidina Ali tidak menyedari bahawa baju perisainya terjatuh dari tungganganya. Apabila beliau pulang ke Kufah, beliau mendapati bahawa baju perisai tersebut berada di tangan seorang Yahudi yang sedang dijual di Kufah.
Sebagaimana yang ditulis di dalam kitab Hilyatul Awliya’ wa Tabaqatul Asfiya’ karangan Abu Nuaim Ahmad Isfahani menyatakan, daripada Ibrahim bin Yazid al-Taimi, daripada ayah beliau, dia (ayah beliau) berkata: “ Saidina Ali bin Abi Thalib menemukan baju perisainya di tangan seorang Yahudi yang menjumpainya. Saidina Ali mengetahuinya lantas berkata, “baju perisaiku jatuh dari untaku yang bernama Auraq (yang berwarna kelabu)”. Orang Yahudi tersebut berkata, “ini adalah baju perisaiku dan ia berada di tanganku”. Lalu orang Yahudi berkata kepada Saidina Ali, “kita bawa perkara ini ke hadapan seorang hakim kaum muslimin”.
Maka mereka berdua mendatangi Syuraih dan ketika Syuraih melihat kedatangan Saidina Ali, lantas beliau beralih dari tempat duduknya, lalu Ali duduk di tempat Syuraih. Saidina Ali berkata, “Seandainya lawanku ketika ini seorang muslim, nescaya aku menganggapnya sama darjat dan kedudukan. Namun begitu, aku mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kalian menyamakan mereka (orang-orang Yahudi) dalam majlis, dan bawalah mereka ke jalan yang tersempit, jika mereka mencaci maki kalian maka pukulah mereka, dan jika mereka membalas pukulan kalian maka bunuhlah mereka” (sebahagian menyatakan Saidina Ali duduk bersebelahan dengan Syuraih dan di hadapan mereka adalah orang Yahudi tersebut).
Kemudian Syuraih berkata, “Apakah keperluan anda wahai Amirul Mukminin?”. Saidina Ali menjawab, “Baju besiku jatuh dari untaku yang bernama Auraq dan ditemukan oleh orang Yahudi ini”. Syuraih lalu berkata, “Apa penjelasan anda wahai orang Yahudi?” orang Yahudi tersebut berkata, “baju besi ini milikku dan ada di tanganku”.
Maka Syuraih berkata, “demi Allah SWT, Tuan benar wahai Amirul Mukminin. Baju besi itu pasti milik Tuan, akan tetapi Tuan perlu kemukakan dua orang saksi”. Kemudian Saidina Ali memanggil Qanbara (hamba Saidina Ali) dan Hasan bin Ali, anak beliau. Lalu keduanya bersaksi bahawa baju perisai tersebut adalah milik Saidina Ali.
Syuraih berkata, “adapun kesaksian hamba Tuan saya mempercayainya dan ia adalah sah tetapi kesaksian anak Tuan, saya tidak dapat menerimanya dan tidak sah kerana ia adalah sebahagian daripada ahli keluarga Tuan”.
Maka Saidina Ali berkata kepada Syuraih, “Celakalah engkau, apakah engkau tidak pernah mendengar Saidina Umar Al-Khatab mengatakan bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Hasan dan Husin adalah pemimpin para pemuda syurga” (Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, No. 11012).
Syuraih berkata, “benar”. Seraya Saidina Ali menjawab “kenapa kau tidak menerima kesaksian pemimpin para pemuda syurga? Demi Allah SWT, aku akan memindahkan engkau ke Banfia (wilayah yang berada di hujung Kufah) dan menjadi qadhi di sana selama empat puluh hari. Kemudian Siadina Ali berkata kepada orang Yahudi tersebut, “ambillah baju besi itu.”
Orang Yahudi tersebut terkejut lalu menyatakan, “Wahai Amirul Mukminin, Tuan menghadap bersamaku di hadapan hakim kaum muslimin, lalu hakim tersebut memutuskan Tuan kalah dalam persidangan dan ia menerimanya dengan keikhlasan. Demi Allah SWT, Tuan yang benar wahai Amirul Mukminin. Sesungguhnya ini adalah baju perisai yang jatuh dari unta Tuan dan aku menemukannya”. “Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah SWT dan Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT”.
Lalu Saidina Ali menghibahkan baju besi tersebut dan seekor unta bersama beberapa hadiah kepada orang Yahudi tersebut. Lalu beliau mengikuti Saidina Ali dalam peperangan Siffin sehingga terkorban di dalam peperangan tersebut.
Begitulah kisah bagaimana seorang pencuri yang mengambil baju perisai Saidina Ali mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam bahkan mengorbankan nyawanya demi menjaga keselamatan Saidina Ali ketika peperangan kerana akhlak terpuji yang ditunjukkan oleh beliau disamping keadilan dan amanah seorang Hakim dalam menilai dan menjatuhi hukum bagi sesuatu perkara.
𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗷𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗹𝗮𝗱𝗮𝗻.
Melalui kisah ini, beberapa pengajaran dan teladan yang baik yang boleh dicontohi diantaranya:
- Adil dan amanah dalam memikul tangungjawab yang telah diterima walaupun ia sukar untuk dilaksanakan kerana ia akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak.
- Pemimpin yang hebat adalah mereka yang mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh syara’ dan berlandaskan oleh sumber-sumber yang sahih.
- Bertoleransi dalam kehidupan tanpa dibatasi oleh sikap perkauman mahupun darjat kerana Allah SWT menyuruh melakukan kebaikkan kepada semua makluknya.

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ucapan Marzuki Ong - EID MUBARAK