Khamis, 1 Disember 2022

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋- 𝟑

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋- 𝟑

𝗥𝗮𝗷𝗮 𝗕𝗮𝗱𝗮𝗿 𝗯𝗶𝗻 𝗛𝗮𝘀𝗻𝗮𝘄𝗶𝗵 𝗮𝗹-𝗞𝘂𝗿𝗱𝗶, 𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁 𝗡𝗲𝗴𝗮𝗿𝗮
Raja Badar bin Hasnawih al-Kurdi (w.405H)
Nama baginda ialah Abu al-Najm Badr bin Hasnawaih bin al-Husain al-Kurdi. Baginda merupakan salah seorang daripada raja-raja yang terbaik di wilayah Dinawar dan Hamadzan. Baginda memiliki kemahiran memimpin yang cemerlang dan banyak pula bersedekah kepada manusia, sehingga baginda digelar Nasir al-Daulah (Sang Penyelamat Negara). Prestasi beliau dalam menjaga keamanan negara begitu baik sehingga jika para musafir kehilangan unta mereka semasa permusafiran, atau dibiarkan begitu sahaja di tanah biar, nescaya unta berkenaan akan dipulangkan atau ditemui, bahkan tanpa berkurangan sedikit pun pada barangan yang dipikulnya, sekali pun selang masanya begitu lama. Begitulah begitu aman dan stabilnya ekonomi dalam pemerintahan baginda.
Pernah berlaku satu ketika, para gabenor baginda ada yang merosakkan ladang-ladang pertanian di negeri-negeri yang diamanahkan oleh Amir Badr untuk menjaganya. Kesannya, ia menjejaskan sumber pendapatan rakyat yang bergantung kepada industri pertanian. Apabila berita sampai kepada pengetahuan baginda, beliau dengan penuh sabar dan bijaksana, menjemput para gabenor yang khianat itu datang untuk jamuan. Beliau melayan mereka dengan penuh baik, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Sehinggalah para gabenor itu sedar setelah menunggu begitu lama, mereka perasan yang Raja Badr tidak menghidangkan roti.
Namun, mereka terus menunggu, tetapi berakhir kecewa kerana roti yang ditunggu tidak sampai sampai-sampai. Melihat keadaan yang aneh itu, mereka bertanya terus kepada Raja Badr, mengapakah rotinya tidak sampai-sampai? Raja Badr dengan santun bertitah:
“Jika kamu semua merosakkan ladang-ladang tani, dari mana kamu boleh mendapatkan roti?”
Maka tercenganglah para gabenor yang tamak dan khianat itu. Raja Badr tidak berhenti di situ sahaja. Baginda lantas bertitah dengan tegas,
“Mulai hari ini, beta tidak mahu dengan seorang pun yang melakukan kerosakan di atas bumi. Jika orang itu ingkar arahan beta ini, beta tiada cara melainkan akan beta tumpahkan darahnya!”
Titah sebegini pastinya membuat sesiapa pun yang mendengarnya akan kecut perut dan berhenti daripada melakukan pengkhianatan, sama ada orang politik atau rakyat marhaen. Ternyata hukuman yang begitu menggerunkan ini sebenarnya telah dinaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ۚ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: “Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh, atau dipalang, atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang, atau dibuang negeri. Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”
(Surah al-Maidah: 33)
Dalam suatu kisah yang lain, Raja Badr memberikan pengajaran yang cukup bermakna kepada seorang tentera kerajaannya yang salah guna kuasa. Raja Badr, pada suatu hari, sedang berangkat dalam sebuah perjalanan sebelum baginda berjumpa dengan seorang rakyatnya yang memikul seikat kayu bakar sambil menangis.
Baginda bertanya, ‘Mengapa kamu menangis?’
Orang itu menjawab, “Tadi aku memiliki dua keping roti, tetapi beberapa orang tentera datang dan merampasnya dariku.”
Baginda bertanya, “Apakah engkau masih kenal dengan tentara itu jika berjumpa dengannya?”
Mangsa itu menjawab, “Ya.”
Baginda singgah dan berhenti di sebuah tempat yang sempit untuk menunggu tentera yang merampas roti rakyatnya itu.
Apabila tentera itu melintas, mangsa itu berkata, “Ini dia.”
Raja Badr meminta tentera itu turun dari kudanya dan menghukumnya membawa ikatan kayu mangsa tadi dengan berjalan kaki sampai ke bandar. Tentera tersebut akur dengan kesilapannya. Dia kemudian merayu untuk membayar fidyah (denda) atas kesilapannya dengan sejumlah wang yang banyak, tetapi ditolak oleh al-Badr. Tentera berkenaan tetap perlu mengangkut kayu mangsa sampai ke kota. Dengan perlaksanaan hukuman yang kreatif ini, seluruh anggota tentera kerajaan Raja Badr menjadi lebih disiplin dan berintegriti.
Raja Badr juga merupakan seorang raja yang pemurah lagi gemar memenuhi maslahat rakyatnya. Baginda sentiasa bersedekah pada hari Jumaat sebanyak 10000 dirham perak kepada orang-orang faqir, ibu-ibu tunggal, dan anak-anak yatim. Setiap bulan pula baginda bersedekah 20000 dirham bagi pengurusan jenazah. Manakala, setiap tahun baginda akan bersedekah 1000 dinar emas kepada 20 orang individu untuk membuat haji bagi pihak mak ayahnya dan kepada para kakitangan kerajaan, kerana merekalah sebab baginda mendapatkan harta untuk disedekahkan itu. Baginda juga bersedekah 30000 dinar kepada wanita-wanita yang berkabung akibat kematian suami dan membiayai kasut-kasut bagi golongan yang miskin antara wilayah Hamadzan dan Baghdad untuk memastikan mereka mendapat kasut yang berkualiti. Bahkan baginda turut membiayai ladam kaki binatang tunggangan mereka!
Baginda bersedekah 100000 dinar kepada dua Tanah Suci (Makkah dan Madinah) bagi membiayai penduduk yang tinggal sekitar tanah haram, mengimarahkan kilang-kilang, dan menyediakan sumber air bersih di jalan-jalan Hijaz, juga kepada rumah-rumah penduduk, menggalikan perigi dan memperbaiki kualitinya. Mana-mana kawasan yang ada air yang mengalir nescaya baginda akan bina di kawasan tersebut perkampungan baru. Pada zaman baginda juga, dibina masjid yang banyak dan perpustakaan-perpustakaan sehingga mencapai 1000 buah masjid dan perpustakaan. Semua ini dibelanjakan daripada perbendaharan kerajaannya daripada sedekah-sedekah jariah, nafkah-nafkah, sumbangan-sumbangan, ke atas para asnaf, yang terdiri daripada para fuqaha, para hakim, tukang-tukang azan, golongan al-Asyraf (keturunan Ahlu Bayt), saksi-saksi, orang-orang fakir, orang-orang miskin, anak-anak yatim dan golongan yang lemah. Ini menunjukkan baginda bijak.
Baginda juga banyak menunaikan solat dan berzikir. Baginda juga memiliki haiwan-haiwan tunggangan yang ditambat di jalan Allah dan padang-padang ragut yang mencapai jumlah 20000 unit. Tempoh pemerintahan baginda adalah 32 tahun. Baginda wafat pada tahun 405 Hijriyyah dan dimakamkan di Masyhad Ali, berdekatan Kufah.
(Rujukan: al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/353)

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ucapan Marzuki Ong - EID MUBARAK