Khamis, 1 Disember 2022

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟒

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟒

𝗙𝗮𝘁𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗯𝗶𝗻𝘁𝗶 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗮𝗹-𝗙𝗮𝗵𝗿𝗶, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝘀𝗮𝘀 𝗨𝗻𝗶𝘃𝗲𝗿𝘀𝗶𝘁𝗶 𝗤𝗮𝗿𝗮𝘄𝗶𝘆𝘆𝗶𝗻
Kisah Fatimah binti Muhammad al-Fahri (meninggal dunia pada 266H/878M)
Nama beliau ialah Fatimah binti Muhammad bin Abdullah al-Fahriyyah al-Qurasyiyyah. Beliau berketurunan bangsawan, leluhur daripada Saidina `Uqbah bin Nafi` al-Fahri al-Qurasyi, sahabat Nabi SAW yang membuka negara Tusian dan pendiri Kota Qayrawan. Beliau merupakan tokoh yang terkenal dan masyhur di Kota Qayrawan, Tunisia, Maghribi, dan khususnya di Kota Fez dan beliau wafat dan dimakamkan di sana.
Beliau masyhur kerana mengasaskan universiti tertua di dunia. Universiti tersebut asalnya adalah Masjid Jamek kemudian berkembang menjadi pusat ilmu di mana para ilmuan daripada pelbagai bidang mengajar di situ dan melahirkan ramai cendekiawan-cendekiawan besar sehingga begitu dikenali di Eropah pada Zaman Pertengahan. Universiti Qarawiyyin ini dibina pada Dinasti Idrisiyyah. Beliau mewujudkan masjid ini sebagai peluang beliau untuk menginfakkan harta beliau supaya beliau diingati masyarakat selepas kematiannya, menjadi penghubung dengan dunia dari sudut berterusan amalan baik.
Bahkan direkod dalam kitab tarikh, tanah dan bahan yang digunakan untuk membina masjid ini semuanya datang daripada tanah milik beliau sendiri, walau terpaksa dikorek tanah sehingga begitu dalam untuk mendapatkan pasir kuning yang halus dan baharu, batu-batu, kerikil-kerikil sebagai material untuk membina Masjid. Universiti ini masih lagi beroperasi dan diiktiraf oleh UNESCO sebagai universiti tertua di dunia yang mengajar teologi rentas agama, jurispruden, falsafah, matematik, astrologi dan kajian linguistik. Antara alumni yang pernah belajar di universiti ini ialah:
- Imam Muhammad bin Ahmad Ibn Rusyd (Averroes) (w.595H): ahli teologi Islam, pakar undang-undang dan pakar perubatan.
- Imam Abdurrahman bin Muhammad bin Khaldun al-Hadrami (Ibn Khaldun) (w.808H): pakar sejarah, politik, ekonomi dan ketamadunan Islam.
Musa bin Maimun (Maimonides): ahli teologi Yahudi, pakar perubatan dan undang-undang.
- Syeikh Muhammad al-Idrisi al-Qurtubi: ahli geografi, saintis dan kartografi (pelakar peta).
- Syeikh Muhammad Taqiuddin bin Abdul Qadir (w.1311H): penerjemah al-Quran dan - Sahih al-Bukhari ke dalam Bahasa Inggeris, bersama Syeikh Muhsin Khan.
- Syeikh Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1413H): pakar hadis.
- Syeikh Muhammad bin al-Hassan al-Bannani (w.1194): pakar fiqh mazhab Maliki.
Muhammad `Allal al-Fasi (w.1974M): pakar usul fiqh khususnya bidang Maqasid al-Syariah, pengasas parti politik Istiqlal dan sasterawan.
Semoga Allah merahmati Fatimah al-Fihri kerana infak beliau, ramai tokoh yang bermanfaat kepada dunia dapat dilahirkan dan berkhidmat untuk kemajuan dan ketamadunan manusia.
Firman Allah Taala:
إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
(Surah Yasin: 12)

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ucapan Marzuki Ong - EID MUBARAK