Khamis, 1 Disember 2022

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟕


 𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟕

𝗥𝗮𝗷𝗮 𝗔𝗯𝘂 𝗦𝗮’𝗶𝗱 𝗮𝗹-𝗠𝘂𝘇𝗮𝗳𝗳𝗮𝗿, 𝗣𝗲𝗺𝗲𝗿𝗶𝗻𝘁𝗮𝗵 𝗮𝗹-𝗜𝗿𝗯𝗶𝗹
Kisah Raja Abu Sa’id al-Muzaffar, Pemerintah al-Irbil (w.630H)
Nama baginda Abu Sa’id al-Muzaffar Kukuburi bin Zainuddin Ali bin Buktitin. Baginda ialah pemerintah Irbil (sekarang Baghdad, Iraq), dipuji sebagai seorang raja yang sangat baik, pemimpin golongan bangsawan, dan pemimpin yang berkarisma. Baginda meninggalkan sejarah dan ikutan yang baik kepada masyarakat. Baginda mengimarahkan Masjid al-Jami` al-Muzaffari di Safah Qasiun. Baginda menekankan maslahat air minuman di masjid berkenaan yang sebelum ini diambil daripada sumber air Barzah. Baginda tidak suka dan menegah pengambilan air daripada sumber ini kerana air itu melalui perkuburan kaum muslimin di Sufuh.
Baginda juga antara perintis para pemerintah yang meraikan Maulid Nabi SAW pada bulan Rabiul Awwal dan baginda menjadikannya sambutan yang meriah di seluruh negara. Beliau raja yang gagah perkasa, berani, hebat dalam peperangan, bijaksana, alim lagi adil.
Direkodkan daripada mereka yang pernah menghadiri majlis Maulid yang dianjurkan oleh Raja al-Muzaffar, mereka dijamu dengan meja hidangan yang cukup panjang dan luas sehingga boleh menampung 5,000 kepala kambing panggang, 10,000 ekor ayam, 100,000 biji buah avocado, dan 30,000 piring makanan manis. Ramai yang hadir majlis itu daripada kalangan ulama dan golongan sufi. Baginda juga menyediakan para tetamu yang datang dari segenap penjuru dunia tanpa mengira latar belakang.
Baginda juga seorang yang banyak bersedekah di Tanah Suci bagi mereka yang melaksanakan ketaatan dan ibadat kepada Allah. Beliau juga saban tahun pastikan membiayai bagi membebaskan para tahanan perang di al-Frinj (benua Eropah pada zaman itu) dengan jumlah yang ramai, sehingga dikatakan mereka yang dibebaskan oleh baginda itu berjumlah 60,000 orang.
Kemurahan hati baginda dibuktikan dengan pengakuan permaisuri beliau sendiri yang bernama Rabi`ah Khatun binti Ayyub. Beliau adalah adik kandung kepada Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang terkenal itu, dan baginda sendiri yang menikahkan adik kandungnya dengan Sultan al-Muzaffar. Rabi`ah berkata: “Pakaian Sultan al-Muzaffar, harganya tidak sampai 5 dirham. Lalu aku menegurnya kerana berpakaian sedemikian tetapi dia membalasku dengan berkata: “Memang bajuku ini harganya hanya 5 dirham. Tetapi bagiku sekiranya baki hartaku itu, aku sedekahkan itu lebih baik daripada aku berpakaian mahal-mahal dan membiarkan rakyatku menderita, ditinggalkan dalam keadaan fakir miskin.
Direkodkan sedekah dan perbelanjaan baginda untuk Maulid Nabi SAW setiap tahun sahaja sudah mencapai jumlah 30,000 dinar, rumah-rumah penginapan tetamu berjumlah 100,000 dinar, biaya memerdekakan tahanan perang berjumlah 200,000 dinar, sumbangan kepada dua Tanah Suci dan bekalan air bersih di Hijaz berjumlah 1,000 dinar. Itu tidak termasuk sedekah-sedekah baginda yang dilakukan secara rahsia. Semoga Allah merahmati baginda.
Beliau wafat di Irbil. Sebelum itu beliau mewasiatkan agar dimaqamkan di Makkah, namun tidak kesampaian, maka baginda dimakamkan di Masyhad Ali, berdekatan Kufah.
Rujukan: al-Bidayah wa al-Nihayah (13/136-137)

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ucapan Marzuki Ong - EID MUBARAK