Khamis, 1 Disember 2022

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟔


 𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟔

𝗦𝘂𝗹𝘁𝗮𝗻 𝗦𝗮𝗹𝗮𝗵𝘂𝗱𝗱𝗶𝗻 𝗮𝗹-𝗔𝘆𝘆𝘂𝗯𝗶: 𝗞𝗲𝘂𝗻𝗴𝗴𝘂𝗹𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗶𝗯𝗮𝗱𝗶𝗻𝘆𝗮
Keunggulan Peribadi Sultan Salahuddin al-Ayyubi
Sultan Salahuddin al-Ayyubi merupakan tokoh yang terkenal dengan sejarahnya yang gemilang. Beliau merupakan tokoh dari Daulah Ayyubiyah di Mesir. Beliau mula memegang semua urusan kenegaraan setelah meninggalnya Asaduddin Syirkukh.
Beliau adalah seorang Sultan yang mempunyai hati lembut, pemurah, terkenal dengan adilnya, kesabaran yang tinggi dan juga keberanian yang luar biasa.
Diringkaskan di sini beberapa poin utama yang menggambarkan keunggulan serta keindahan peribadi Sultan Salahuddin al-Ayyubi:
Dalam urusan pemerintahan, Sultan Salahuddin mengadakan majlis penghadapan dua kali seminggu, setiap Isnin dan Selasa. Majlis tersebut dihadiri oleh para ulama’, hakim, pembesar negara dan juga qadhi. Pintunya akan sentiasa terbuka bagi semua lapisan masyarakat baik orang ternama mahupun orang kebanyakan. Semua rayuan dan juga proses menandatangani perintah yang dikeluarkan dibuat sendiri oleh beliau. Setiap yang datang tidak akan dibenarkan pergi sebelum beliau menyelesaikan keperluan orang tersebut. Dalam masa yang sama, beliau juga sibuk dengan zikrullah.
Beliau memberikan keputusan setelah mendengar sendiri sesuatu pengaduan. Pernah berlaku suatu ketika, terdapat satu pengaduan yang dibuat oleh seseorang dengan menujukan kepada anak saudara Sultan, Taqiuddin. Sultan Salahuddin lalu memerintahkan Taqiuddin serta merta datang ke istana bagi menjawab segala tuduhan dalam pengaduan tersebut.
Dalam satu kejadian lain, Sultan telah disaman oleh seseorang. Penyiasatan lalu dilakukan oleh Sultan. Meskipun saman tersebut tidak benar, namun Sultan tetap mengurniakan orang yang menyaman tersebut dengan pakaian kemuliaan serta saguhati yang lumayan sebelum dia beredar meninggalkan istana.
Suatu ketika, Sultan Salahuddin meminta air namun tidak diberikan kepadanya. Beliau lalu mengulangi lagi permintaannya sebanyak lima kali lalu akhirnya beliau berkata: “Saya sedang kehausan.” Setelah air dibawakan kepadanya, beliau lalu meminum air tersebut tanpa berkata apa-apa lagi.
Dalam peristiwa yang lain, sesudah sakit beberapa lama, Sultan Salahuddin ingin mandi. Beliau meminta dibawakan air sejuk. Namun beliau kemudian mendapati air yang dibawakan terlalu panas sehingga menyakitkan tubuh`nya. Tetapi beliau hanya berkata kepada pembantunya, “Beritahu saya jika kamu hendak membinasakan saya.” Dan Sultan Salahuddin terus mengampuni kesilapan pembantunya serta merta setelah pembantu itu memohon maaf.
Sultan Salahuddin juga memiliki kemurahan serta kebaikan jiwa. Dalam satu peristiwa, setelah kota Amad, Qurrah dan Arslan berjaya ditawan, salah seorang panglimanya menyatakan keinginan dan hasratnya terhadap kota tersebut. Sultan terus menganugerahkan kota tersebut kepada panglima itu.
Sultan Salahuddin juga mempunyai kebiasaan akan memberi hadiah sebagai tanda penghargaan kepada setiap pelawat yang datang kepadanya walaupun pelawat tersebut adalah musyrik. Beliau juga dicatatkan pernah mengirim air batu dan buah-buahan kepada musuhnya yang paling ketat, iaitu Raja Inggeris yang bernama Richard the Lionheart ketika raja itu sedang sakit.
Sultan Salahuddin juga adalah seorang yang amat mengasihani anak yatim. Beliau akan menyerahkan anak yatim untuk dijaga oleh orang tertentu atau beliau sendiri yang akan menguruskan penjagaan anak itu sekiranya menemui anak yatim. Beliau juga seorang yang amat bersimpati kepada mereka yang tidak terdaya dan golongan tua. Mereka akan dianggap sebagai tanggungan peribadinya sendiri.
Sumber: Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi. 1999. Tarikh al-Da’wah wa al-Azimah (diterjemahkan dengan tajuk 10 Tokoh yang Mengubah Dunia). Batu Caves : Pustaka Ilmi. hlm. 177-179.

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ucapan Marzuki Ong - EID MUBARAK