Rabu, 28 Disember 2022

Nabi SAW berdakwah "Tauhid dalam Ibadah"

Kuliah Pengajian Ilmu Islam OKU Pekak Bersama MarzukiOng 


Tafsir Al-Quran Surah az-Zumar 39 : Ayat 1-2  & Hadis Sahih Bukhari


Siri 18 | 08 Dis 2022 




Siri 19 | 15 Dis 2022 




Mari tonton Youtube MarzukiOng di https://www.youtube.com/@halaqahmarzdeafdaie


Selasa, 6 Disember 2022

Agama di sisi ALLAH adalah hanya ISLAM

 Kuliah Pengajian Ilmu Islam OKU Pekak Bersama MarzukiOng 


Tafsir Al-Quran Surah ali Imran 3 : Ayat 18-19 & Hadis Sahih Bukhari


Siri 16 | 01 Dis 2022 



Siri 17 | 03 Dis 2022 



Mari tonton Youtube MarzukiOng di https://www.youtube.com/@halaqahmarzdeafdaie





Khamis, 1 Disember 2022

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟕


 𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟕

𝗥𝗮𝗷𝗮 𝗔𝗯𝘂 𝗦𝗮’𝗶𝗱 𝗮𝗹-𝗠𝘂𝘇𝗮𝗳𝗳𝗮𝗿, 𝗣𝗲𝗺𝗲𝗿𝗶𝗻𝘁𝗮𝗵 𝗮𝗹-𝗜𝗿𝗯𝗶𝗹
Kisah Raja Abu Sa’id al-Muzaffar, Pemerintah al-Irbil (w.630H)
Nama baginda Abu Sa’id al-Muzaffar Kukuburi bin Zainuddin Ali bin Buktitin. Baginda ialah pemerintah Irbil (sekarang Baghdad, Iraq), dipuji sebagai seorang raja yang sangat baik, pemimpin golongan bangsawan, dan pemimpin yang berkarisma. Baginda meninggalkan sejarah dan ikutan yang baik kepada masyarakat. Baginda mengimarahkan Masjid al-Jami` al-Muzaffari di Safah Qasiun. Baginda menekankan maslahat air minuman di masjid berkenaan yang sebelum ini diambil daripada sumber air Barzah. Baginda tidak suka dan menegah pengambilan air daripada sumber ini kerana air itu melalui perkuburan kaum muslimin di Sufuh.
Baginda juga antara perintis para pemerintah yang meraikan Maulid Nabi SAW pada bulan Rabiul Awwal dan baginda menjadikannya sambutan yang meriah di seluruh negara. Beliau raja yang gagah perkasa, berani, hebat dalam peperangan, bijaksana, alim lagi adil.
Direkodkan daripada mereka yang pernah menghadiri majlis Maulid yang dianjurkan oleh Raja al-Muzaffar, mereka dijamu dengan meja hidangan yang cukup panjang dan luas sehingga boleh menampung 5,000 kepala kambing panggang, 10,000 ekor ayam, 100,000 biji buah avocado, dan 30,000 piring makanan manis. Ramai yang hadir majlis itu daripada kalangan ulama dan golongan sufi. Baginda juga menyediakan para tetamu yang datang dari segenap penjuru dunia tanpa mengira latar belakang.
Baginda juga seorang yang banyak bersedekah di Tanah Suci bagi mereka yang melaksanakan ketaatan dan ibadat kepada Allah. Beliau juga saban tahun pastikan membiayai bagi membebaskan para tahanan perang di al-Frinj (benua Eropah pada zaman itu) dengan jumlah yang ramai, sehingga dikatakan mereka yang dibebaskan oleh baginda itu berjumlah 60,000 orang.
Kemurahan hati baginda dibuktikan dengan pengakuan permaisuri beliau sendiri yang bernama Rabi`ah Khatun binti Ayyub. Beliau adalah adik kandung kepada Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang terkenal itu, dan baginda sendiri yang menikahkan adik kandungnya dengan Sultan al-Muzaffar. Rabi`ah berkata: “Pakaian Sultan al-Muzaffar, harganya tidak sampai 5 dirham. Lalu aku menegurnya kerana berpakaian sedemikian tetapi dia membalasku dengan berkata: “Memang bajuku ini harganya hanya 5 dirham. Tetapi bagiku sekiranya baki hartaku itu, aku sedekahkan itu lebih baik daripada aku berpakaian mahal-mahal dan membiarkan rakyatku menderita, ditinggalkan dalam keadaan fakir miskin.
Direkodkan sedekah dan perbelanjaan baginda untuk Maulid Nabi SAW setiap tahun sahaja sudah mencapai jumlah 30,000 dinar, rumah-rumah penginapan tetamu berjumlah 100,000 dinar, biaya memerdekakan tahanan perang berjumlah 200,000 dinar, sumbangan kepada dua Tanah Suci dan bekalan air bersih di Hijaz berjumlah 1,000 dinar. Itu tidak termasuk sedekah-sedekah baginda yang dilakukan secara rahsia. Semoga Allah merahmati baginda.
Beliau wafat di Irbil. Sebelum itu beliau mewasiatkan agar dimaqamkan di Makkah, namun tidak kesampaian, maka baginda dimakamkan di Masyhad Ali, berdekatan Kufah.
Rujukan: al-Bidayah wa al-Nihayah (13/136-137)

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟔


 𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟔

𝗦𝘂𝗹𝘁𝗮𝗻 𝗦𝗮𝗹𝗮𝗵𝘂𝗱𝗱𝗶𝗻 𝗮𝗹-𝗔𝘆𝘆𝘂𝗯𝗶: 𝗞𝗲𝘂𝗻𝗴𝗴𝘂𝗹𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗶𝗯𝗮𝗱𝗶𝗻𝘆𝗮
Keunggulan Peribadi Sultan Salahuddin al-Ayyubi
Sultan Salahuddin al-Ayyubi merupakan tokoh yang terkenal dengan sejarahnya yang gemilang. Beliau merupakan tokoh dari Daulah Ayyubiyah di Mesir. Beliau mula memegang semua urusan kenegaraan setelah meninggalnya Asaduddin Syirkukh.
Beliau adalah seorang Sultan yang mempunyai hati lembut, pemurah, terkenal dengan adilnya, kesabaran yang tinggi dan juga keberanian yang luar biasa.
Diringkaskan di sini beberapa poin utama yang menggambarkan keunggulan serta keindahan peribadi Sultan Salahuddin al-Ayyubi:
Dalam urusan pemerintahan, Sultan Salahuddin mengadakan majlis penghadapan dua kali seminggu, setiap Isnin dan Selasa. Majlis tersebut dihadiri oleh para ulama’, hakim, pembesar negara dan juga qadhi. Pintunya akan sentiasa terbuka bagi semua lapisan masyarakat baik orang ternama mahupun orang kebanyakan. Semua rayuan dan juga proses menandatangani perintah yang dikeluarkan dibuat sendiri oleh beliau. Setiap yang datang tidak akan dibenarkan pergi sebelum beliau menyelesaikan keperluan orang tersebut. Dalam masa yang sama, beliau juga sibuk dengan zikrullah.
Beliau memberikan keputusan setelah mendengar sendiri sesuatu pengaduan. Pernah berlaku suatu ketika, terdapat satu pengaduan yang dibuat oleh seseorang dengan menujukan kepada anak saudara Sultan, Taqiuddin. Sultan Salahuddin lalu memerintahkan Taqiuddin serta merta datang ke istana bagi menjawab segala tuduhan dalam pengaduan tersebut.
Dalam satu kejadian lain, Sultan telah disaman oleh seseorang. Penyiasatan lalu dilakukan oleh Sultan. Meskipun saman tersebut tidak benar, namun Sultan tetap mengurniakan orang yang menyaman tersebut dengan pakaian kemuliaan serta saguhati yang lumayan sebelum dia beredar meninggalkan istana.
Suatu ketika, Sultan Salahuddin meminta air namun tidak diberikan kepadanya. Beliau lalu mengulangi lagi permintaannya sebanyak lima kali lalu akhirnya beliau berkata: “Saya sedang kehausan.” Setelah air dibawakan kepadanya, beliau lalu meminum air tersebut tanpa berkata apa-apa lagi.
Dalam peristiwa yang lain, sesudah sakit beberapa lama, Sultan Salahuddin ingin mandi. Beliau meminta dibawakan air sejuk. Namun beliau kemudian mendapati air yang dibawakan terlalu panas sehingga menyakitkan tubuh`nya. Tetapi beliau hanya berkata kepada pembantunya, “Beritahu saya jika kamu hendak membinasakan saya.” Dan Sultan Salahuddin terus mengampuni kesilapan pembantunya serta merta setelah pembantu itu memohon maaf.
Sultan Salahuddin juga memiliki kemurahan serta kebaikan jiwa. Dalam satu peristiwa, setelah kota Amad, Qurrah dan Arslan berjaya ditawan, salah seorang panglimanya menyatakan keinginan dan hasratnya terhadap kota tersebut. Sultan terus menganugerahkan kota tersebut kepada panglima itu.
Sultan Salahuddin juga mempunyai kebiasaan akan memberi hadiah sebagai tanda penghargaan kepada setiap pelawat yang datang kepadanya walaupun pelawat tersebut adalah musyrik. Beliau juga dicatatkan pernah mengirim air batu dan buah-buahan kepada musuhnya yang paling ketat, iaitu Raja Inggeris yang bernama Richard the Lionheart ketika raja itu sedang sakit.
Sultan Salahuddin juga adalah seorang yang amat mengasihani anak yatim. Beliau akan menyerahkan anak yatim untuk dijaga oleh orang tertentu atau beliau sendiri yang akan menguruskan penjagaan anak itu sekiranya menemui anak yatim. Beliau juga seorang yang amat bersimpati kepada mereka yang tidak terdaya dan golongan tua. Mereka akan dianggap sebagai tanggungan peribadinya sendiri.
Sumber: Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi. 1999. Tarikh al-Da’wah wa al-Azimah (diterjemahkan dengan tajuk 10 Tokoh yang Mengubah Dunia). Batu Caves : Pustaka Ilmi. hlm. 177-179.

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟓

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟓
𝗔𝗺𝗶𝗿 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗤𝗮𝗱𝗶𝗿 𝗯𝗶𝗻 𝗠𝘂𝗵𝘆𝗶𝗱𝗱𝗶𝗻  𝗮𝗹-𝗛𝗮𝘀𝗮𝗻𝗶 𝗮𝗹-𝗝𝗮𝘇𝗮𝗶𝗿𝗶
Amir Abdul Qadir bin Muhyiddin al-Hasani al-Jazairi (w.1300H/1808M-1375H/1883M) 

Beliau merupakan pemimpin agama dan ketenteraan yang berjuang melawan penjajah Perancis di Algeria pada pertengan kurun ke-19 Masehi. Bermula dengan pendidikan agama dan kesufian yang jauh daripada kancah perang, akhirnya beliau menyertai jihad melawan penjajah dengan berjaya menyatukan kabilah-kabilah sekitarnya sehingga berjaya mempertahankan tanah Algeria, buat beberapa tahun, daripada dirampas oleh penjajah Perancis yang dianggap paling maju dan kuat di Eropah. 

Beliau dilahirkan pada tahun 1808 di Mascara dan membesar dalam zawiah ayahandanya, Syeikh Muhyiddin al-Hasani yang merupakan seorang pemimpin Tarikat al-Qadiriah. Beliau berlaqab “al-Hasani” kerana bersambung nasab beliau kepada Imam al-Hasan bin Ali RA, cucunda Rasulullah SAW. 

Beliau mendapat pendidikan sejak kecil merangkumi ilmu akidah, fiqh dan kesusasteraan. Beliau selesai menghafal al-Quran pada umur 14 tahun dan seorang yang mahir dalam melantunkan syair. Ketika musim haji tahun 1825M, beliau berangkat bersama ayahnya ke Tanah Suci dan di sana mereka bertemu dan berbincang panjang dengan Imam Shamil, salah seorang mujahidin dan sultan kerajaan Qauqaz di wilayah Dagestan dan Chechya yang melawan Empayar Russia. Abdul Qadir juga terpengaruh dengan idea dan semangat pembaharuan dan pemodenan yang dibawa oleh Jeneral Muhammad Ali Pasha yang memimpin revolusi pemodenan Mesir dengan memajukan sistem industri, ketenteraan, kesusasteraan, kedoktoran dan perundangan di Mesir. Setelah selesai menunaikan haji, mereka pulang beberapa bulan sebelum Algeria diserang oleh Perancis. 

Apabila Algeria dijajah Prancis pada tahun 1832 M, ayahnya diangkat sebagai Amirul Mukminin (Pemimpin orang-orang beriman) dalam satu persidangan yang dihadiri pelbagai kabilah dari wilayah barat Alteria. Ayahnya menolak dengan alasan dia sudah terlalu tua. Lantas, Abdul Qadir diangkat sebagai Amirul Mukminin menggantikan ayahnya dan pertabalan itu berlangsung di Masjid Agung Mascara. Maka bermulalah episod kepimpinan beliau dalam mencorak sejarah Algeria. Dalam masa hanya setahun, Abdul Qadir berhasil menyatukan kabilah-kabilah dari pelbagai wilayah, memberikan pertarungan sengit kepada penjajah Perancis sehingga akhirnya berjaya memaksa Perancis berunding dan menyepakati perjanjian damai yang diberi nama Treaty of Tafna (“Piagam Tafna”). Maka berdirilah kerajaan berdaulat di bawah Amirul Mukminin Abdul Qadir al-Jazairi al-Hasani selama beberapa tahun sebelum pihak Perancis dengan segala tipu daya dan kelicikan menjatuhkan Abdul Qadir daripada pemerintahan serta mengasingkan dan menahan beliau di Toulon, Selatan Perancis. 

Beliau terkenal di mata dunia Islam dan Barat sebagai pemimpin yang mempromosi idea-idea bagi hak asasi manusia. Ini berikutan sikap beliau yang menyedikan perlindungan bagi orang-orang Kristian dalam satu peristiwa pembunuhan beramai-ramai anti-Kristian oleh kaum Druz pada tahun 1860 di Dimasyq, sedangkan golongan Kristian pernah bermusuhan dengan beliau. Peristiwa ini mengorbankan 3000 nyawa manusia. Abdul Qadir sebelum itu telah memberitahu kepada pihak Perancis bahawa konflik yang berlaku sangat gawat dan membimbangkan, namun pihak Perancis tidak mengambil tindakan yang sepatutnya. Apabila berlakunya peristiwa pembunuhan beramai-ramai itu, Abdul Qadir bersama para tenteranya  sendiri memberikan perlindungan kepada sekumpulan besar orang Kristian termasuklah ketua-ketua konsulat dan kumpulan agama, termasuk warga Perancis, seperti Sisters of Mercy, di dalam rumahnya sendiri. Mereka bercerita:

“Kami berada dalam keadaan riuh rendah. Kami begitu yakin bahawa ajal kami sudah tiba... Dalam situasi kematian yang tak dapat digambarkan, penuh dengan kecamuk dan haru biru, tiba-tiba Kerajaan Langit menghantar Penyelamatnya! Lalu Abdul Qadir muncul, dikepung dengan bala tentera Algerianya, seramai 40 orang. Dia menunggang kuda tanpa senjata; kelihatan segak dan menenangkan, sehingga secara aneh menenggelamkan hiruk pikuk dan kacau bila yang sedang melanda di serata tempat.”

Beliau dipuji sebagai satria patriotik dengan gelaran Jugurtha Moden kerana berjaya menggabungkan para pemimpin agama dan politik dalam siri-siri kempen menentang penjajah, sehingga beliau digelar oleh Ahmad Bouyerdene, “Wali dalam kalangan putera, putera dalam kalangan wali.”

Seorang diplomat Inggeris, Kolonel Charles Henry Churchill (1807-1869 M) menceritakan pada suatu hari seorang Uskup agama Kristian menulis surat kepada Abdul Qadir. Surat itu berbunyi:

“Tuan tidak mengenaliku, tetapi pekerjaanku adalah melayani Tuhan, dan atas namaNya mencintai seluruh manusia, anak-anak dan saudaranya. Apabila aku mengendarai kuda, aku tidak takut akan kegelapan malam maupun deru angin. Aku sanggup hadir di depan pintu tenda tuan dan memanggil-manggil tuan. Jika tilikanku tentang tuan tidak salah, tuan pasti tidak akan menolak permintaanku. Bebaskan saudaraku yang malang itu, tapi aku tidak bisa datang sendiri... Saya tidak memiliki emas dan perak untuk ditawarkan kepada tuan. Satu-satunya yang boleh saya berikan adalah doa yang tulus dan rasa terima kasih yang dalam dari keluarga yang membuatku menulis surat ini. Berbahagialah orang yang penuh belas kasih, karena mereka mendapatkan rasa belas kasihan”

Surat berkenaan sebenarnya ialah permohonan untuk melepaskan seorang tahanan perang yang merupakan suami kepada seorang ahli jemaah perempuan uskup itu di gerejanya. Abdul Qadir membalas surat uskup itu dengan mengatakan:

“Aku telah menerima surat tuan, apa yang tuan minta sama sekali tidak mengejutkanku kerana peribadi suci tuan. Namun demikian, izinkan aku mengambil perhatian pada gelaran tuan, sebagai ‘pelayan Tuhan’ dan ‘teman manusia’. 

Seharusnya tuan menuntut tidak hanya kebebasan seorang tawanan sahaja, tetapi semua orang Kristian yang telah menjadi tawanan perang. Dua gelaran itu sepatutnya membuatkan tuan tidak akan merasa puas dengan membebaskan dua atau tiga ratus orang Kristian, justeru tuan juga wajib memperbanyak jumlahnya seramai bilangan orang-orang Islam yang merana di penjara tuan!” 

Hasil daripada kebijaksanaan dan insaf dalam dua individu ini, maka pada 21 Mei 1841 M berkalulah peristiwa bersejarah apabila kerajaan Islam Algeria dan pihak Kristian melakukan pertukaran tawanan perang di Sidi Khalifa. Tidak cukup dengan itu, Abdul Qadir menghadiahkan sebilangan besar kambing-kambing betina yang gemuk dengan susu dan anak-anaknya sebagai sumber makanan dan hiburan kepada uskup berkenaan kerana mendapat tahu uskup itu membela dan mengambil anak angkat daripada anak-anak mangsa peperangan. 

Churchill akhirnya menyimpulkan peribadi Abdul Qadir dengan pujian, “hampir tak tertandingi dalam sejarah peperangan.” Menurut Churcill, beliau memberikan kebebasan terhadap setiap tawanan perang untuk melaksanakan ajaran agamanya. Ini termaktup dalam surat Abdul Qadir kepada gereja:

“Kirimkan seorang paderi ke perkhemahan tawananku. Aku menghormatinya sebagai pelayan Tuhan dan wakil kamu. Dia akan berdoa dengan para tahanan setiap hari, menghiburkan mereka dan menjadi penghubung mereka dengan keluarga mereka. Justeru, dia boleh menjadi wasilah bagi tahanan untuk mendapatkan duit, pakaian, buku, surat atau segala sesuatu yang mereka inginkan, agar dapat meringankan sukarnya hidup sebagai tahanan.”

Bahkan beliau pernah membebaskan semua tawanan perang Perancis dengan mengatakan, “tanpa makanan untuk diberikan dengan baik, Islam tidak mengizinkan aku untuk menahan mereka sebagai tawanan.” Mereka di hadapan Abdul Qadir diperlakukan seperti tamu. Beliau sering mengirim mereka makanan dari dapurnya sendiri. Mereka diberikan pakaian yang baik untuk dikenakan. 

Disebabkan sikap beliau yang begitu terpuji, tidak sedikit daripada tawanan Prancis menawarkan diri memeluk Islam. Pernah suatu ketika ada seorang tawanan Perancis yang berkata dengan berani di hadapan Abdul Qadir: “Aku tidak akan meninggalkan agamaku! Kau boleh memenggal kepalaku, tapi membuatku tinggalkan Kristian, itu tidak mungkin berlaku!”

Abdul Qadir tersenyum dan berkata, “Bersabar dan tenanglah, hidupmu aman denganku. Aku menyukai ungkapan semacam itu. Kau adalah seorang pemberani dan setia, serta layak dihargai. Aku lebih menghormati keberanian dalam agama daripada keberanian dalam perang.” 

Ketinggian budi pekerti beliau ini membuatkan orang-orang atasan ketenteraan Perancis bingung. Mereka memerintahkan para tahanan Perancis yang dilepaskan oleh Abdul Qadir tidak menceritakan kebaikannya kepada tentara Prancis lainnya. Jika ada yang ingkar, mereka akan dihukum secara tentera. Tetapi tidak sedikit tentera Perancis yang menjadi Muslim.

Keteladanan Abdul Qadir telah diakui masyarakat dunia yang mencintai keamanan sehingga di Amerika Syarikat terdapat bandar yang dinamakan Bandar Elkader di Iowa. Timothy Davis, John Thompson dan Chester Sage yang membuka bandar itu nama Elkader pada tahun 1846 sebagai bentuk penghormatan atas sikap beranian, murah hati dan kemanusiaan Amir Abdul Qadir al-Jazairi. 

William Makepeace Thackeray (1811-1863 M), seorang sasterawan Inggeris, menulis puisi khusus untuk Amir Abdul Qadir dengan judul The Caged Hawk at Touloun (Burung Lang yang Terpenjara di Touloun) yang menggambarkan keberanian, ketenangan dan kemurahan-hati Amir Abdul Qadir, serta kelicikan Prancis dalam menjebaknya hingga beliau ditangkap dan dipenjara di Touloun, Perancis. Bahkan Abraham Lincoln pernah mengirimkan hadiah sepasang pistol sebagai bentuk penghormatan kepadanya.

Sebenarnya, jika kita meneliti sikap yang ditunjukkan oleh Abdul Qadir, kita akan lihat contoh ketara yang diwasiatkan oleh Nabi Muhammad SAW. Firman Allah Taala:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا
Maksudnya: “Mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim, dan orang yang ditawan.” 
(Surah al-Insan: 8)

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟒

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋 - 𝟒

𝗙𝗮𝘁𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗯𝗶𝗻𝘁𝗶 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗮𝗹-𝗙𝗮𝗵𝗿𝗶, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝘀𝗮𝘀 𝗨𝗻𝗶𝘃𝗲𝗿𝘀𝗶𝘁𝗶 𝗤𝗮𝗿𝗮𝘄𝗶𝘆𝘆𝗶𝗻
Kisah Fatimah binti Muhammad al-Fahri (meninggal dunia pada 266H/878M)
Nama beliau ialah Fatimah binti Muhammad bin Abdullah al-Fahriyyah al-Qurasyiyyah. Beliau berketurunan bangsawan, leluhur daripada Saidina `Uqbah bin Nafi` al-Fahri al-Qurasyi, sahabat Nabi SAW yang membuka negara Tusian dan pendiri Kota Qayrawan. Beliau merupakan tokoh yang terkenal dan masyhur di Kota Qayrawan, Tunisia, Maghribi, dan khususnya di Kota Fez dan beliau wafat dan dimakamkan di sana.
Beliau masyhur kerana mengasaskan universiti tertua di dunia. Universiti tersebut asalnya adalah Masjid Jamek kemudian berkembang menjadi pusat ilmu di mana para ilmuan daripada pelbagai bidang mengajar di situ dan melahirkan ramai cendekiawan-cendekiawan besar sehingga begitu dikenali di Eropah pada Zaman Pertengahan. Universiti Qarawiyyin ini dibina pada Dinasti Idrisiyyah. Beliau mewujudkan masjid ini sebagai peluang beliau untuk menginfakkan harta beliau supaya beliau diingati masyarakat selepas kematiannya, menjadi penghubung dengan dunia dari sudut berterusan amalan baik.
Bahkan direkod dalam kitab tarikh, tanah dan bahan yang digunakan untuk membina masjid ini semuanya datang daripada tanah milik beliau sendiri, walau terpaksa dikorek tanah sehingga begitu dalam untuk mendapatkan pasir kuning yang halus dan baharu, batu-batu, kerikil-kerikil sebagai material untuk membina Masjid. Universiti ini masih lagi beroperasi dan diiktiraf oleh UNESCO sebagai universiti tertua di dunia yang mengajar teologi rentas agama, jurispruden, falsafah, matematik, astrologi dan kajian linguistik. Antara alumni yang pernah belajar di universiti ini ialah:
- Imam Muhammad bin Ahmad Ibn Rusyd (Averroes) (w.595H): ahli teologi Islam, pakar undang-undang dan pakar perubatan.
- Imam Abdurrahman bin Muhammad bin Khaldun al-Hadrami (Ibn Khaldun) (w.808H): pakar sejarah, politik, ekonomi dan ketamadunan Islam.
Musa bin Maimun (Maimonides): ahli teologi Yahudi, pakar perubatan dan undang-undang.
- Syeikh Muhammad al-Idrisi al-Qurtubi: ahli geografi, saintis dan kartografi (pelakar peta).
- Syeikh Muhammad Taqiuddin bin Abdul Qadir (w.1311H): penerjemah al-Quran dan - Sahih al-Bukhari ke dalam Bahasa Inggeris, bersama Syeikh Muhsin Khan.
- Syeikh Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1413H): pakar hadis.
- Syeikh Muhammad bin al-Hassan al-Bannani (w.1194): pakar fiqh mazhab Maliki.
Muhammad `Allal al-Fasi (w.1974M): pakar usul fiqh khususnya bidang Maqasid al-Syariah, pengasas parti politik Istiqlal dan sasterawan.
Semoga Allah merahmati Fatimah al-Fihri kerana infak beliau, ramai tokoh yang bermanfaat kepada dunia dapat dilahirkan dan berkhidmat untuk kemajuan dan ketamadunan manusia.
Firman Allah Taala:
إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
(Surah Yasin: 12)

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

 

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋- 𝟑

𝐊𝐈𝐒𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋- 𝟑

𝗥𝗮𝗷𝗮 𝗕𝗮𝗱𝗮𝗿 𝗯𝗶𝗻 𝗛𝗮𝘀𝗻𝗮𝘄𝗶𝗵 𝗮𝗹-𝗞𝘂𝗿𝗱𝗶, 𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁 𝗡𝗲𝗴𝗮𝗿𝗮
Raja Badar bin Hasnawih al-Kurdi (w.405H)
Nama baginda ialah Abu al-Najm Badr bin Hasnawaih bin al-Husain al-Kurdi. Baginda merupakan salah seorang daripada raja-raja yang terbaik di wilayah Dinawar dan Hamadzan. Baginda memiliki kemahiran memimpin yang cemerlang dan banyak pula bersedekah kepada manusia, sehingga baginda digelar Nasir al-Daulah (Sang Penyelamat Negara). Prestasi beliau dalam menjaga keamanan negara begitu baik sehingga jika para musafir kehilangan unta mereka semasa permusafiran, atau dibiarkan begitu sahaja di tanah biar, nescaya unta berkenaan akan dipulangkan atau ditemui, bahkan tanpa berkurangan sedikit pun pada barangan yang dipikulnya, sekali pun selang masanya begitu lama. Begitulah begitu aman dan stabilnya ekonomi dalam pemerintahan baginda.
Pernah berlaku satu ketika, para gabenor baginda ada yang merosakkan ladang-ladang pertanian di negeri-negeri yang diamanahkan oleh Amir Badr untuk menjaganya. Kesannya, ia menjejaskan sumber pendapatan rakyat yang bergantung kepada industri pertanian. Apabila berita sampai kepada pengetahuan baginda, beliau dengan penuh sabar dan bijaksana, menjemput para gabenor yang khianat itu datang untuk jamuan. Beliau melayan mereka dengan penuh baik, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Sehinggalah para gabenor itu sedar setelah menunggu begitu lama, mereka perasan yang Raja Badr tidak menghidangkan roti.
Namun, mereka terus menunggu, tetapi berakhir kecewa kerana roti yang ditunggu tidak sampai sampai-sampai. Melihat keadaan yang aneh itu, mereka bertanya terus kepada Raja Badr, mengapakah rotinya tidak sampai-sampai? Raja Badr dengan santun bertitah:
“Jika kamu semua merosakkan ladang-ladang tani, dari mana kamu boleh mendapatkan roti?”
Maka tercenganglah para gabenor yang tamak dan khianat itu. Raja Badr tidak berhenti di situ sahaja. Baginda lantas bertitah dengan tegas,
“Mulai hari ini, beta tidak mahu dengan seorang pun yang melakukan kerosakan di atas bumi. Jika orang itu ingkar arahan beta ini, beta tiada cara melainkan akan beta tumpahkan darahnya!”
Titah sebegini pastinya membuat sesiapa pun yang mendengarnya akan kecut perut dan berhenti daripada melakukan pengkhianatan, sama ada orang politik atau rakyat marhaen. Ternyata hukuman yang begitu menggerunkan ini sebenarnya telah dinaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ۚ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: “Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh, atau dipalang, atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang, atau dibuang negeri. Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”
(Surah al-Maidah: 33)
Dalam suatu kisah yang lain, Raja Badr memberikan pengajaran yang cukup bermakna kepada seorang tentera kerajaannya yang salah guna kuasa. Raja Badr, pada suatu hari, sedang berangkat dalam sebuah perjalanan sebelum baginda berjumpa dengan seorang rakyatnya yang memikul seikat kayu bakar sambil menangis.
Baginda bertanya, ‘Mengapa kamu menangis?’
Orang itu menjawab, “Tadi aku memiliki dua keping roti, tetapi beberapa orang tentera datang dan merampasnya dariku.”
Baginda bertanya, “Apakah engkau masih kenal dengan tentara itu jika berjumpa dengannya?”
Mangsa itu menjawab, “Ya.”
Baginda singgah dan berhenti di sebuah tempat yang sempit untuk menunggu tentera yang merampas roti rakyatnya itu.
Apabila tentera itu melintas, mangsa itu berkata, “Ini dia.”
Raja Badr meminta tentera itu turun dari kudanya dan menghukumnya membawa ikatan kayu mangsa tadi dengan berjalan kaki sampai ke bandar. Tentera tersebut akur dengan kesilapannya. Dia kemudian merayu untuk membayar fidyah (denda) atas kesilapannya dengan sejumlah wang yang banyak, tetapi ditolak oleh al-Badr. Tentera berkenaan tetap perlu mengangkut kayu mangsa sampai ke kota. Dengan perlaksanaan hukuman yang kreatif ini, seluruh anggota tentera kerajaan Raja Badr menjadi lebih disiplin dan berintegriti.
Raja Badr juga merupakan seorang raja yang pemurah lagi gemar memenuhi maslahat rakyatnya. Baginda sentiasa bersedekah pada hari Jumaat sebanyak 10000 dirham perak kepada orang-orang faqir, ibu-ibu tunggal, dan anak-anak yatim. Setiap bulan pula baginda bersedekah 20000 dirham bagi pengurusan jenazah. Manakala, setiap tahun baginda akan bersedekah 1000 dinar emas kepada 20 orang individu untuk membuat haji bagi pihak mak ayahnya dan kepada para kakitangan kerajaan, kerana merekalah sebab baginda mendapatkan harta untuk disedekahkan itu. Baginda juga bersedekah 30000 dinar kepada wanita-wanita yang berkabung akibat kematian suami dan membiayai kasut-kasut bagi golongan yang miskin antara wilayah Hamadzan dan Baghdad untuk memastikan mereka mendapat kasut yang berkualiti. Bahkan baginda turut membiayai ladam kaki binatang tunggangan mereka!
Baginda bersedekah 100000 dinar kepada dua Tanah Suci (Makkah dan Madinah) bagi membiayai penduduk yang tinggal sekitar tanah haram, mengimarahkan kilang-kilang, dan menyediakan sumber air bersih di jalan-jalan Hijaz, juga kepada rumah-rumah penduduk, menggalikan perigi dan memperbaiki kualitinya. Mana-mana kawasan yang ada air yang mengalir nescaya baginda akan bina di kawasan tersebut perkampungan baru. Pada zaman baginda juga, dibina masjid yang banyak dan perpustakaan-perpustakaan sehingga mencapai 1000 buah masjid dan perpustakaan. Semua ini dibelanjakan daripada perbendaharan kerajaannya daripada sedekah-sedekah jariah, nafkah-nafkah, sumbangan-sumbangan, ke atas para asnaf, yang terdiri daripada para fuqaha, para hakim, tukang-tukang azan, golongan al-Asyraf (keturunan Ahlu Bayt), saksi-saksi, orang-orang fakir, orang-orang miskin, anak-anak yatim dan golongan yang lemah. Ini menunjukkan baginda bijak.
Baginda juga banyak menunaikan solat dan berzikir. Baginda juga memiliki haiwan-haiwan tunggangan yang ditambat di jalan Allah dan padang-padang ragut yang mencapai jumlah 20000 unit. Tempoh pemerintahan baginda adalah 32 tahun. Baginda wafat pada tahun 405 Hijriyyah dan dimakamkan di Masyhad Ali, berdekatan Kufah.
(Rujukan: al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/353)

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

𝗞𝗜𝗦𝗔𝗛 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋-𝟮


 𝗞𝗜𝗦𝗔𝗛 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋-𝟮

𝗞𝗶𝘀𝗮𝗵 𝗬𝗮𝗵𝘂𝗱𝗶 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗠𝗲𝗻𝗴𝗮𝗺𝗯𝗶𝗹 𝗕𝗮𝗷𝘂 𝗣𝗲𝗿𝗶𝘀𝗮𝗶 𝗦𝗮𝗶𝗱𝗶𝗻𝗮 𝗔𝗹𝗶 𝗗𝗮𝗻 𝗗𝗶𝗮𝗱𝗶𝗹𝗶 𝗢𝗹𝗲𝗵 𝗤𝗮𝗱𝗵𝗶 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗔𝗺𝗮𝗻𝗮𝗵 (𝗦𝘆𝘂𝗿𝗮𝗶𝗵 𝗔𝗹-𝗤𝗮𝗱𝗵𝗶)
Kisah ini berlaku di zaman pemerintahan Saidina Ali yang pada ketika itu berlaku peperangan saudara atau lebih dikenali sebagai perang Siffin. Peperangan diantara Saidina Ali bin Abi Talib dan pengikutnya menentang Muawiyah bin Abu Sufyan dan qabilahnya. Peperangan ini adalah menuntut bela ke atas pembunuhan Saidina Utsman bin Affan. Ketika dalam perjalanan ke kawasan peperangan, Saidina Ali tidak menyedari bahawa baju perisainya terjatuh dari tungganganya. Apabila beliau pulang ke Kufah, beliau mendapati bahawa baju perisai tersebut berada di tangan seorang Yahudi yang sedang dijual di Kufah.
Sebagaimana yang ditulis di dalam kitab Hilyatul Awliya’ wa Tabaqatul Asfiya’ karangan Abu Nuaim Ahmad Isfahani menyatakan, daripada Ibrahim bin Yazid al-Taimi, daripada ayah beliau, dia (ayah beliau) berkata: “ Saidina Ali bin Abi Thalib menemukan baju perisainya di tangan seorang Yahudi yang menjumpainya. Saidina Ali mengetahuinya lantas berkata, “baju perisaiku jatuh dari untaku yang bernama Auraq (yang berwarna kelabu)”. Orang Yahudi tersebut berkata, “ini adalah baju perisaiku dan ia berada di tanganku”. Lalu orang Yahudi berkata kepada Saidina Ali, “kita bawa perkara ini ke hadapan seorang hakim kaum muslimin”.
Maka mereka berdua mendatangi Syuraih dan ketika Syuraih melihat kedatangan Saidina Ali, lantas beliau beralih dari tempat duduknya, lalu Ali duduk di tempat Syuraih. Saidina Ali berkata, “Seandainya lawanku ketika ini seorang muslim, nescaya aku menganggapnya sama darjat dan kedudukan. Namun begitu, aku mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kalian menyamakan mereka (orang-orang Yahudi) dalam majlis, dan bawalah mereka ke jalan yang tersempit, jika mereka mencaci maki kalian maka pukulah mereka, dan jika mereka membalas pukulan kalian maka bunuhlah mereka” (sebahagian menyatakan Saidina Ali duduk bersebelahan dengan Syuraih dan di hadapan mereka adalah orang Yahudi tersebut).
Kemudian Syuraih berkata, “Apakah keperluan anda wahai Amirul Mukminin?”. Saidina Ali menjawab, “Baju besiku jatuh dari untaku yang bernama Auraq dan ditemukan oleh orang Yahudi ini”. Syuraih lalu berkata, “Apa penjelasan anda wahai orang Yahudi?” orang Yahudi tersebut berkata, “baju besi ini milikku dan ada di tanganku”.
Maka Syuraih berkata, “demi Allah SWT, Tuan benar wahai Amirul Mukminin. Baju besi itu pasti milik Tuan, akan tetapi Tuan perlu kemukakan dua orang saksi”. Kemudian Saidina Ali memanggil Qanbara (hamba Saidina Ali) dan Hasan bin Ali, anak beliau. Lalu keduanya bersaksi bahawa baju perisai tersebut adalah milik Saidina Ali.
Syuraih berkata, “adapun kesaksian hamba Tuan saya mempercayainya dan ia adalah sah tetapi kesaksian anak Tuan, saya tidak dapat menerimanya dan tidak sah kerana ia adalah sebahagian daripada ahli keluarga Tuan”.
Maka Saidina Ali berkata kepada Syuraih, “Celakalah engkau, apakah engkau tidak pernah mendengar Saidina Umar Al-Khatab mengatakan bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Hasan dan Husin adalah pemimpin para pemuda syurga” (Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, No. 11012).
Syuraih berkata, “benar”. Seraya Saidina Ali menjawab “kenapa kau tidak menerima kesaksian pemimpin para pemuda syurga? Demi Allah SWT, aku akan memindahkan engkau ke Banfia (wilayah yang berada di hujung Kufah) dan menjadi qadhi di sana selama empat puluh hari. Kemudian Siadina Ali berkata kepada orang Yahudi tersebut, “ambillah baju besi itu.”
Orang Yahudi tersebut terkejut lalu menyatakan, “Wahai Amirul Mukminin, Tuan menghadap bersamaku di hadapan hakim kaum muslimin, lalu hakim tersebut memutuskan Tuan kalah dalam persidangan dan ia menerimanya dengan keikhlasan. Demi Allah SWT, Tuan yang benar wahai Amirul Mukminin. Sesungguhnya ini adalah baju perisai yang jatuh dari unta Tuan dan aku menemukannya”. “Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah SWT dan Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT”.
Lalu Saidina Ali menghibahkan baju besi tersebut dan seekor unta bersama beberapa hadiah kepada orang Yahudi tersebut. Lalu beliau mengikuti Saidina Ali dalam peperangan Siffin sehingga terkorban di dalam peperangan tersebut.
Begitulah kisah bagaimana seorang pencuri yang mengambil baju perisai Saidina Ali mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam bahkan mengorbankan nyawanya demi menjaga keselamatan Saidina Ali ketika peperangan kerana akhlak terpuji yang ditunjukkan oleh beliau disamping keadilan dan amanah seorang Hakim dalam menilai dan menjatuhi hukum bagi sesuatu perkara.
𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗷𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗹𝗮𝗱𝗮𝗻.
Melalui kisah ini, beberapa pengajaran dan teladan yang baik yang boleh dicontohi diantaranya:
- Adil dan amanah dalam memikul tangungjawab yang telah diterima walaupun ia sukar untuk dilaksanakan kerana ia akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak.
- Pemimpin yang hebat adalah mereka yang mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh syara’ dan berlandaskan oleh sumber-sumber yang sahih.
- Bertoleransi dalam kehidupan tanpa dibatasi oleh sikap perkauman mahupun darjat kerana Allah SWT menyuruh melakukan kebaikkan kepada semua makluknya.

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

𝗞𝗜𝗦𝗔𝗛 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐔𝐍𝐆𝐆𝐔𝐋-1

 

𝗞𝗶𝘀𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗨𝗻𝗴𝗴𝘂𝗹
𝗞𝗜𝗦𝗔𝗛 𝟭: 𝗞𝗵𝗮𝗹𝗶𝗳𝗮𝗵 𝗦𝗮𝗶𝗱𝗶𝗻𝗮 𝗨𝗺𝗮𝗿 𝗮𝗹-𝗞𝗵𝗮𝘁𝘁𝗮𝗯 𝗱𝗮𝗻 𝗦𝘆𝘂𝗿𝗮𝗶𝗵 𝗮𝗹-𝗤𝗮𝗱𝗵𝗶
𝗞𝗶𝘀𝗮𝗵 𝗝𝘂𝗮𝗹 𝗕𝗲𝗹𝗶 𝗞𝘂𝗱𝗮 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗮𝗱𝗶𝗹𝗶 𝗢𝗹𝗲𝗵 𝗤𝗮𝗱𝗵𝗶 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗔𝗺𝗮𝗻𝗮𝗵 (𝗦𝘆𝘂𝗿𝗮𝗶𝗵 𝗔𝗹-𝗤𝗮𝗱𝗵𝗶)
Nama sebenar Syuraih Al-Qadhi ialah Syuraih bin Al-Harith bin Qis bin Jahm Al-Kindi. Beliau lebih dikenali sebagai Syuraih Al-Qadhi kerana perkhidmatan beliau sebagai Hakim ketika hidupnya. Beliau merupakan Qadhi yang amat faqih di era tersebut dan berkhidmat lebih kurang 60 tahun berturut-turut sejak pemerintahan Khilafah Umar bin Khathab, Utsman bin Affan, Ali bin Abi Thalib dan beberapa khalifah yang lain.
Beliau bukan sahaja seorang Qadhi, bahkan Muhadith dan penyair Arab yang terkenal. Syuraih Al-Qadhi hidup selama 107 tahun dan meninggal pada tahun ke 78 hijrah, sebahagian menyatakan tahun ke 80 hijrah selepas beliau meletakkan jawatan. Beliau mengundurkan diri pada awal pemerintahan Hajjaj bin Yusuf sebagai wali di Iraq dan setahun kemudian beliau meninggal dunia. Syuraih telah memeluk agama Islam sezaman dengan Rasulullah SAW di Hadrulmaut, Yaman tetapi tidak pernah berjumpa dengan Baginda Nabi SAW (bagaimanapun terdapat berbagai pendapat dan khilaf lain berkenaan biodata beliau, sila rujuk Tahzib Al-Kamil Li al-Mizzi, m/s 2726.
𝗞𝗶𝘀𝗮𝗵 𝗦𝗮𝗶𝗱𝗶𝗻𝗮 𝗨𝗺𝗮𝗿 𝗔𝗹-𝗞𝗵𝗮𝘁𝘁𝗮𝗯 𝗗𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗝𝘂𝗮𝗹 𝗕𝗲𝗹𝗶 𝗞𝘂𝗱𝗮.
Pada suatu hari Syuraih bin Al-Harith didatangi oleh Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab bersama seorang penjual kuda. Hajat mereka berjumpa Syuraih adalah untuk mengadukan permasalahan yang sedang mereka hadapi dan meminta Syuraih untuk mengadilinya.
Syuraih mempersilakan penjual kuda untuk menjelaskan maksud kedatangannya. Lalu beliau menjelaskan bahawa Khalifah Saidina Umar telah membeli seekor kuda darinya. Namun begitu, selang beberapa hari, Saidina Umar datang berjumpanya untuk mengembalikan kuda tersebut dan menuntut ganti rugi. Setelah mendengar penjelasan dari penjual kuda, Syuraih kemudian mempersilakan Khalifah Saidina Umar untuk memberikan penjelasan. Lalu Saidina Umar menjelaskan tujuan beliau mengembalikan kuda tersebut dan menuntut ganti rugi atas sebab kuda itu berpenyakit dan cacat dan membuatkan larianya tidak laju.
Syuraih kembali mempersilakan penjual kuda untuk memberikan jawapan. Beliau tidak dapat menerima alasan Khalifah Saidina Umar kerana dia menjualnya dalam keadaan sihat tanpa ada cacat dimana-mana bahagian kuda tersebut. Syuraih kemudian bertanya kepada Saidina Umar, “Apakah benar ketika Tuan membeli kuda itu keadaannya sihat dan tidak cacat?” Saidina Umar menjawab singkat, “Benar.” Maka Syuraih memberikan keputusan terhadap perkara tersebut dan menyatakan bahawa Saidina Umar tidak berhak meminta ganti rugi daripada penjual kuda tersebut kerana pada keadaan jual beli dilakukan, kuda itu berada di dalam keadaan sihat tanpa ada kecacatan.
Beliau kemudian berkata kepada Saidina Umar, “Peliharalah apa yang Tuan beli atau jika ingin mengembalikannya, kembalikanlah seperti ketika Tuan menerimanya.” Mendengar keputusan dan penjelasan daripada Syuraih, Saidina Umar bertanya, “Benarkah keputusan kamu Syuraih?” Syuraih mengangguk dengan penuh yakin. Saidina Umar memandang Syuraih dengan kagum lantas berkata, “Beginilah seharusnya keputusan dilakukan, ucapan yang pasti dan keputusan yang adil. Lantas Saidina Umar mengangkat Syuraih menjadi Qadhi dan memerintahkan beliau untuk pergi ke Kufah dan berkhidmat disana.
(Sila rujuk buku Beriman Kepada Qada’ dan Qadar karangan Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang, m/s 71 atau kitab Min Kulli Bustani Zahrah karangan Sana’ Naj, m/s 220 atau www.Nabulsi.com yang bertajuk Sirah Al-Taabiin Al-Ajla' : At-Tabii Al-Qadhi Syuraih).
𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗷𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗹𝗮𝗱𝗮𝗻.
Melalui kisah ini, beberapa pengajaran dan teladan yang baik dapat direnungi bersama diantaranya:
- Perkara yang tidak benar tetap salah walaupun kesalahan itu dilakukan oleh pemimpin atau orang kenamaan.
- Pemerintahan yang berlandaskan sifat Rabbani iaitu sifat patuh kepada tuhan melalui sumber dan matlamat dari segi peraturan, undang-undang, hukum syariah dan perlaksanaannya mesti datangnya daripada agama Allah SWT kerana seorang pemimpin yang beriman kepada Allah SWT wajib beriman kepada zat dan sifatnya yang maha suci daripada segala kekurangan.

Sumber daripada FB Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri


Ucapan Marzuki Ong - EID MUBARAK